Sunday, February 28, 2010

Jepun. Tahun 2080 merupakan dunia di bawah pemerintah robot. Semua yang hidup di dunia ini sudah leka dengan kewujudan robot. Binatang sudah boleh berkomunikasi seperti manusia biasa. Hanya perlu memasang kolar hitam kepada leher mereka dan mereka akan berfungsi seperti manusia biasa. Tidak perlu lagi kita tafsir mengapa bayi yang baru lahir asyik menangis. Hanya perlu dilekatkan dengan alat perbualan atau talking device ke leher bayi tersebut.

Robot berkuasa di mana-mana sahaja. Sektor makanan, sektor pakaian, sektor berita. Namakan apa sahaja sektor yang dahulu dikuasai oleh manusia. Dunia manusia hanya tinggal sejarah. Sejarah yang telah lama luput dari fikiran manusia. Semua yang bernyawa di muka bumi ini bersikap optimistik. Kini, manusia tidak perlu lagi melakukan kerja-kerja yang perlu menggunakan daya fikiran atau tenaga. Hanya duduk dan goyang kaki. Semuanya sudah berada dalam kawalan robot. Manusia yang pintar telah melakukan demikian. Manusia telah mencipta robot untuk mengambil alih manusia.


Di tasik Hokkaido, aku memerhatikan air yang asyik bertukar warna tanpa menggunakan lampu elektrik. Amat menakjubkan kerana Jepun merupakan negeri paling pertama untuk menghasilkan tasik sedemikian dengan penggunaan teknologi yang semakin terkini. Tasik Hokkaido memang terkenal dan merupakan daya penarik yang terbesar di Jepun bagi para pelancong. Aku sedang menantikan Mamoru, robot teman lelakiku.

“Aishiteru Ana!” sebut teman lelakiku sambil menghulurkan bunga matahari.

“Watashi mo aishite imasu Mamoru!”(Aku cintakan kamu juga Mamoru.)

Aku sudah lumrah dengan bahasa Jepun kerana sudah hampir enam tahun aku tinggal di sini. Aku terpegun dengan bunga matahari yang dihulurkan kepadaku. Seolah-olah bunga matahari itu adalah sinaran matahari yang benar.




“Ahhhh.”
Aku menghelakan nafas yang panjang. Pasti ramai yang mahu hidup sepertiku. Gembira dan terhibur selalu. Seumur hidupku, detik-detik inilah yang aku nantikan setiap kali terseksa dengan kerja-kerja yang asyik ‘mengalir’ sahaja. Bekerja sebagai seorang ahli sains untuk syarikat Okinawa amat menyeksakan batin diri. Namun demikian, hasil titik peluhku tidak sia-sia. Pekerjaanku telah mengambil masaku sepanjang hari, termasuk juga masa tidurku. Namun demikian, kerana penghasilan sesebuah ciptaan bukan sahaja memanfaatkan syarikatku, malah penciptanya juga dapat menikmatinya.

Tiba-tiba, bunga matahari itu mengeluarkan kotak kecil berwarna merah. Alangkah terperanjatnya aku apabila Mamoru menyuruh kotak tersebut buka, lalu ia mendedahkan sebentuk cincin permata. Ibarat terkena kejutan elektrik, mulutku ternga-nga, mataku terbeliak memandang apa yang ada di dalam kotak merah tersebut. Cincin permata yang terletak di dalam kotak telah berjaya menangkap perhatianku. Begitu ramai juga orang berada di sekeliling tasik ini. Kerana robot tidak mempunyai perasaan malu, Mamoru menebalkan mukanya lalu melutut di hadapanku.

“Kekkon shite kuremasu ka?” Dalam situasi sedemikian, amatlah payah jika seseorang itu masih tidak faham apa yang hendak disampaikan. Aku sengaja berlakon seolah-olah aku tidak mengerti apa yang sedang disoalkan oleh Mamoru. Semua yang berada di tasik tersebut, baik dengan teman masing-masing ataupun dengan ahli keluarga turut bergembira dan menepuk tangan mereka seolah-olah sedang menonton pertunjukan percuma.

Beberapa soalan timbul di permukaan mindaku. Haruskah aku menerima atau menolak lamarannya? Kalau aku menolak lamarannya, mereka yang sedang memerhatikan ‘pertunjukan’ ini pasti akan merasa kecewa dan marah kerana aku menolak lamarannya. Bingungnya. Mereka semua tidak tahu bahawa teman lelakiku sebenarnya hanya rekaan sahaja. Bukan kenyataan.


Mamoru adalah salah satu robot tag 1312 di kategori jejaka idaman yang telah diciptakan oleh Okinawa. Mamoru juga merupakan salah satu robot antropomorfik, iaitu dia mempunyai rupa bentuk menyerupai manusia tetapi sebenarnya berfungsi seperti robot biasa. Mamoru dan kawan-kawannya yang lain diciptakan untuk memenuhi kehendak manusia seperti aku. Namun demikian, Mamoru merupakan robot pertama untuk diberikan nyawa. Kawan-kawannya yang telah dihidupkan berada dengan kawan-kawan kerjaku, juga untuk eksperimen Okinawa.






Mamoru adalah sebahagian daripada jalanan ujian Okinawa. Jikalau dia lulus ujian ini, iaitu melamar teman wanitanya, Okinawa akan mengambilnya daripadaku dan akan mengedarkan robot-robot lain seperti Mamoru. Apa sahaja kelemahan kaum lelaki dapat diatasai dengan membeli robot-robot lelaki idaman. Mereka hanyalah robot yang dikawal oleh komputer tetapi berjaya menarik hati kaum hawa. Misalnya, gadis-gadis yang telah ditinggalkan oleh teman lelaki mereka, mereka yang patah hati terhadap kaum lelaki dan tidak mahu berkahwin lagi serta alasan-alasan lain yang dapat memenuhi kehendak kaum hawa boleh didapati dalam ciri-ciri robot jejaka idaman.

“Hai!” Aku menerima lamaran Mamoru tanpa menghiraukan akibatnya. Walhal, jawatankuasa Okinawa telah mengingatkanku bahawa aku tidak boleh menerima lamaran robot antropomorfik. Pedulikan mereka! Aku mahu hidup bahagia, bukan seperti mereka. Kerja, kerja, kerja. Hanya mementingkan kerja dan duit. Aku bukan seperti mereka. Aku juga mahu hidup seperti manusia biasa. Di saat-saat inilah aku dapat merasakan masa depanku akan bertambah cerah dengan kehadiran Mamoru. Apakan tidak. Dia diciptakan untuk mengganti pasangan hidupku. Oleh kerana itu, aku harus menggenggamnya di tanganku dan tidak akan melepaskannya. Mana mungkin Okinawa mahu mengambil Mamoru dariku. Mustahil. Mamoru memerlukanku dan aku juga memerlukannya.







Tepukan gemuruh dan sorak-sorakan kedengaran. Aku merasakan diriku ibarat di atas awan yang bergerak beriring-iringan. Inilah yang dipanggil kebahagiaan yang berkekalan. Pertama kali rasa diperlukan di dunia ini. Kami saling mendakap dengan erat.









Hari majlis perkahwinanku dengan Mamoru hampir tiba. Dengan penggunaan teknologi, aku dapat menyiapkan majlis perkahwinan idamanku dengan mewah pada waktu yang singkat. Tema perkahwinanku ialah angkasa. Semua yang ingin hadir harus berpakaian putih. Syarikat Okinawa pula sudah dimaklumkan bahawa aku akan mengahwini Mamoru. Dengan syarat, aku harus mengembalikan Mamoru selepas lima tahun bersamanya. Rupa-rupanya, Presiden Okinawa bercadang untuk meningkatkan tahap eksperimannya dan memanjangkan tempoh hari Mamoru dikehendaki pulang ke kilang.

***************
Perkahwinanku bersama dengan Mamoru akan berlangsung dalam masa dua jam lagi. Jam di dinding menunjukkan waktu yang kian berputar dengan lancar. Aku merasakan seolah-olah aku telah berdosa kepada kedua ibu bapaku dan abangku. Aku gelisah dan asyik berulang-alik memikirkan sesuatu. Aku cuba menafikan perkahwinan ini adalah kahwin lari. Tidak mengapa. Aku berjanji akan membawa Mamoru pulang denganku ke dunia nyata. Namun demikian, aku tidak pasti tarikhnya.

“Mamoru, are you ready?”

“Yes Ana. I am ever ready.”

“Okay Mamoru. Lets proceed. Aishiteru!”

““Watashi mo aishite imasu Ana.”

13 Disember 2080. Inilah tarikh yang telah dinantikan. Mengikut alunan Clarinet Concerto (tajuk lagu) oleh Mozart, melodinya dimainkan oleh robot tag 00135. Para hadirin yang dijemput semuanya berpakaian putih. Sambil didendangkan dengan melodi tersebut, dengan berpakaian serba hitam, aku dan Mamoru berjalan seiring sambil menggengam tangan. Selesai sahaja lagu diputarkan, kami berdiri menghadap antara satu sama lain di hadapan khalayak yang telah diundang. Turut menghadiri perkahwinanku ialah Presiden Okinawa dan jawatankuasa Okinawa. Mereka mahu melihat reaksi Mamoru selepas cincin disarungkan ke tangannya.

Apabila aku cuba untuk melafazkan kata persetujuan untuk mengahwininya, aku merasakan seolah-olah ada seseorang sedang menumbuk dadaku berulang-ulang kali dengan kuat. Aku memekik sekuat hatiku. Penglihatanku semakin kabu, tidak jelas. Tidak! Aku tidak mahu pulang ke alam realiti. Aku belum bersedia untuk menghadapai dunia nyata. Walau bagaimanapun, aku tidak dapat melawan kuasa tarikan dari mesin waktuku. Arghhhhh!!!! Aku tercampak ke lantai konkrit lalu pengsan. Gelap. Semuanya gelap.








“Abang...abang bu..at a...pa di si...ni?” Aku cuba mengeluarkan kata-kata tersebut dengan nada perlahan.

“Ana. Apa telah terjadi dengan kau? Ke mana kau pergi selama ini? Kenapa tidak memberitahu aku tentang ciptaan mesin kau dan bagaimana Ana bina makmal sains tanpa pengetahuan sesiapa pun? Mengapa Ana sanggup meninggalkan ibu, ayah dan abang? Mengapa Ana??”

Titisan air mata abang Khairi terjatuh di tapak tanganku. Soalan abang merunsingkan kepalaku. Kesakitan tadi masih dapat dirasakan. Aku hanya membiarkan soalan abang terumbang ambing di mindaku. Tiada gunanya aku menjelaskan kepadanya. Apa yang dia tahu? Kerja, kerja, kerja. Lupakan keluarga sendiri. Padanya, wang lebih penting.

“Mengapa kau hanya diamkan diri Ana? Abang tanya ni.” Aku mengendahkannya, masih keras kepala.

“Baiklah Ana. Abang pasti Ana akan menyesal selepas mendengar berita ini. Ibu meninggal dunia dua tahun lepas. Dia menghidap barah payudara dan kita diberitahu doktor di saat-saat terakhir. Tidak ada harapan lagi untuk ibu kerana dia tidak mahu diselamatkan. Ibu rela menahan kesakitan daripada membayar kos rawatan yang tinggi. Ibu tidak mahu menyusahkan sesiapa. Hanya kau sahaja yang dia nantikan di pintu rumah, agar kau pulang selamat dan dilindungi Allah SWT. Namun demikian, sudah enam tahun berlalu, kau masih menghilangkan diri. Ibu setia menantikan kau walaupun kesakitannya sudah di tahap kritikal. Akhirnya, aku menyuruh Ibu melepaskan kau dan aku berjanji kepadanya aku akan mencari kau. Kita akhirnya bertemu juga.”

Air mata mengalir turun lalu hinggap di pipi gebuku. Aku meraung, bukan kerana kesakitan tetapi kerana aku tidak dapat berjumpa dengan ibu untuk kali terakhir. Peluang itu pergi dengan sewenang-wenangnya. Perasaan kesal menyelubungiku. Kesal dengan perbuatanku yang hanya mementingkan diri sendiri. Hanya Tuhan sahaja mengerti perasaanku pada waktu itu. Kehilangan ibu dan Mamoru pada jangka masa yang singkat merupakan penderitaan pada diriku. Luka yang kian mendalam tidak dapat diubati.

**************

Tiga tahun sudah berlalu. 2015. Menurut abang, aku masih tidak serik dengan apa yang telah terjadi. Semakin hari, hubungan antara kami berdua semakin renggang. Bapa pula hanya memencilkan dirinya dengan beribadah kepada Allah SWT. Di makmal, aku sibuk dengan kerja-kerjaku. Misiku ialah untuk mendapatkan ibu pulang ke dunia ini. Aku pasti ia bukan perkara yang mustahil. Aku memasang tekad untuk mengubati dan ‘menghidupkan’ ibu kembali. Dengan adanya ciptaan mesin waktu, aku hanya perlu menghasilkan ubat untuk merawat dan memulihkan penyakit barah payudarah.

Tiga tahun, empat bulan. Jangka masa yang agak panjang. Akhirnya, aku berjaya mencapai matlamatku. Ubat yang telah aku hasilkan untuk merawat ibu berjaya mengawal pembiakan dan pertumbuhan pada payudarahnya. Aku bersiap sedia untuk membawa diriku ke alam 2004. Aku seharusnya mengawal penyakit barah dengan menyuntik ubat tersebut sebelum Ibu tahu akan keadaan sebenarnya.

*************

“ZZZZinngggg!” Sekali lagi, aku tercampak tetapi dengan beberapa alat keselamatan (seperti topi keledar) yang lengkap di tubuhku, aku dapat menghindari diri daripada hentakkan kepala yang kuat. Mujur, ubat XY untuk merawat penyakit ibu masih terselamat di kocekku.

Jam di dinding menunjukkan 10 pagi. Aku perhatikan sekitaranku. Rupa-rupanya, aku berada di rumahku. Dengan pantas, aku ke bilik untuk menukar pakaianku lalu pergi mencari ibu di dapur. Ibu sedang sibuk memasak sambil bersiul-siul. Aku perhatikan gelagatnya sambil bersembunyi. Sekuntum senyuman berputik di bibirku. Malangnya,ibu sedar seseorang sedang perhatikannya. Dia melihat ke arahku lalu berkata,

“Kus semangat! Ana! Apa kau buat tu? Main sembunyi-sembunyi kah? Mari sini tolong ibu masak. Apa punya anak dara, dah besar pun tak tahu masak. Mari cepat.”

“ Baik ibu.” Namun demikian, aku tidak menolongnya memasak tetapi sebaliknya, aku mendakapnya erat-erat lalu menangis. Hatiku pilu namun pada masa yang sama juga, aku menghelakan nafas yang panjang kerana dapat bertemu dengan ibu lagi. Alhamdullillah.

Followers